SEJARAH PUSAT SUMBER SK. KUNAK JAYA, KUNAK.
Pusat Sumber SK Kunak Jaya ditubuhkan pada awal tahun 1991 atas cadangan En. Abd. Rahim Bin Othman selaku Guru Besar SK Kunak Jaya yang pertama. Setelah pihak sekolah berjaya menyewa sebuah bilik kecil dibawah rumah orang kampung yang berdekatan balairaya Kg Kunak Jaya.
Cikgu Cathterine Sampak merupakan Guru Penyelaras Pusat Sumber SK Kunak Jaya yang pertama. Beliau bersama jawatankuasa Pusat sumber dengan usaha yang kuat berjaya mewujudkan pusat sumber sekolah walaupun dengan kemudahan ketika itu agak terbatas. Dengan menggunakan dua buah rak almari buku hasil gotong royong guru- guru Pusat Sumber sekolah, proses peminjaman dapat dilaksanakan.
Kewujudan Pusat Sumber Sekolah di bawah rumah telah menarik perhatian Pegawai Bahagian Teknologi Pendidikan Bahagian Tawau Encik Johnny Chong. Akhirnya beliau telah membuat lawatan pemantauan dan mengucapkan tahniah atas daya usaha pihak sekolah khasnya Guru Besar sekolah. Beliau banyak menyalurkan bahan bantuan seperti buku, televisyen, radio, peralatan pengajaran dan pembelajaran.
Pada tahun 1993 Cikgu Abd Mohmin Bin Kadir telah dilantik sebagai Guru Penyelaras Pusat Sumber Sekolah SK Kunak Jaya setelah Pn.Catherine Sampak meletak jawatan kerana ingin memberikan tumpuan sebagai guru bahasa Inggeris tahun 6.
Setelah SK Kunak Jaya berpindah ke bangunan baru pada tahun 1994, Bilik Pusat Sumber dibawah rumah juga akhirnya telah ditinggalkan dengan seribu satu kenangan manis. Bangunan baru Pusat Sumber sekolah begitu luas setaraf dengan Pusat Sumber SMK Kunak.
Dalam era selepas perpindahan ke bangunan baru, Pusat Sumber Sekolah SK Kunak Jaya semakin berkembang. Peranan dan fungsinya semakin meningkat. Selain menjadi tempat peminjaman buku, bahan pengajaran dan pembelajaran oleh murid dan guru-guru, ianya juga menjadi pusat aktiviti program kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah.
Dalam lipatan sejarah perkembangan Pusat sumber sekolah, guru-guru SK Kunak Jaya merupakan nadi penting kejayaan perkembangan. Nama –nama seperti Cikgu Hamsia Binti Hj. Suruki, Cikgu Aidah Binti Dakman Cikgu Fatimah Binti Albani, Allahyarhamah Cikgu Nurshahiera Binti Abdullah, Cikgu Nurpisah Binti Mohd. Said, Cikgu Azman Bin Abd. Rahman, Cikgu Ibrahim Bin Sulaiman, Cikgu Aminah Binti Hj. Pileh, Cikgu Suzian Binti Ag. Mus, Ustaz Shamsul Bin Mohd.Jusoh, Ustazah Siti Normaziah Binti Abd. Rahman ,Ustazah Syamsuzaila Binti Zakaria, Cikgu Kadir Bin Ali, Ustaz Rahim Bin Ab. Halik, Ustaz Abdullah Bin Ibrahim, Cikgu Marlin Bin Malalin ,Cikgu Raimie Bin Remat, Cikgu Nur Azlan Mohidin, Cikgu Nakiyati, Cikgu Jum Bin Bullun, Cikgu Ramli Bin Abd. Salam, Cikgu Muhd Join Bin Hj. Moli dan ramai lagi telah menyumbang tenaga dan kerjasama yang tinggi dalam setiap aktiviti Pusat Sumber sekolah.
Pusat sumber SK Kunak Jaya merupakan pusat Sub PKG bagi SK Kunak 2, SK. Lormalong dan SK Madai. Banyak aktiviti telah dilaksanakan sepanjang penubuhan Sub PKG yang berpusat di SK Kunak Jaya.
Pada tahun 1998, Pusat Sumber SK Kunak Jaya telah dicalonkan sebagai Pusat Sumber Contoh kategori Sekolah luar Bandar peringkat negeri namun tewas diperingkat akhir kepada salah sebuah sekolah dari Daerah Tenom.
Pada Tahun 2007, Jawatan Guru Penyelaras Pusat Sumber ditukar menjadi Guru Perpustakaan dan Media selaras dengan perkembangan semasa pendidikan. Pada tahun 2008 Pusat sumber Sekolah telah ditambah dengan unit Pusat Akses dengan bekalan 10 buah Komputer bagi menjayakan misi celik komputer dikalangan murid-murid dan guru-guru.
Pada awal tahun 2009, Cikgu Christy Slyvester Sakim telah dilantik menjadi Guru Perpustakaan dan Media menggantikan Cikgu Abd Mohmin Kadir yang berpindah bertugas ke Daerah Telupid. Walau bagaimanapun pada tahun 2010 Cikgu Nor Azean Binti Sakaran telah dilantik sebagai Guru Perpustakaan dan Media SK. Kunak Jaya sehingga kini.
No comments:
Post a Comment